Selawat al-Fateh

Ringkasan Sejarah.
Selawat al- Fateh adalah berasal daripada al-Qutub Sayyid Muhammad Syamsuddin bin Abul Hasan al-Bakry r.a. yang mendapat ilham kurniaan setelah bermunajat pada Allah SWT selama 18 tahun di Makkah. Selawat ini juga di sebut penghulu segala selawat kerana mengandung rahsia segala selawat dan rahsia zikir dan nama nama Allah yang Maha Agung.
 
Cara cara untuk Mengamalkan Selawat al-Fateh:
Sebagai amalan harian selepas solat lima waktu dan pada hari Jumaat ditingkatkan bilangan bacaan selawat.kepada 300 x:
1. Fatihah kepada Rasulullah SAW Baca ( l x)
2. Istighfar (Mohon ampun pada Allah) (100x )
3. Selawat al-Fateh (100/300x )
4. Zikir (100 x)
5. Doa ( l0 x)
Jika mempunyai sesuatu hajat yang penting hendaklah dimulakan dengan solat sunat hajat 2 rakaat atau 12 rakaat sebaik baiknya dan amalkan selama 120 hari dengan bilangan bacaan selawat 1000 setiap hari :
1. Hadiah al-Fatihah kepada Rasulullah Baca (l x)
2. Istighfar (Mohon ampun pada Allah) (100 x)
3. Selawat al-Fateh (1,000x )
4. Zikir (1,000x )
5. Doa (10 x).
Amalan selawat al-Fateh mesti di niatkan dengan tujuan beribadah kerana Allah dan memuliakan Rasulullah sahaja dan mohonlah pada Allah SWT dengan keberkatan bacaan selawat untuk minta di sampaikan apa yang dihajati.
Fadhilat dan kelebihan Amalan Selawat al-Fateh :
Orang yang kekal mengamalkan Selawat al-Fateh secara istiqamah akan mendapat anugerah 33 fadhilat dan karamah di dunia dan di akhirat.Antara kelebihan yang diperoleh di dunia di antaranya ialah :
• Mendapati diri dihormati oleh masyarakat
• Mendapat pertolongan dan dijauhkan musibah serta musuh.
• Menerima rezeki besar atau kenaikan pangkat yang tiada di sangka sangka.
Antara kelebihan diperolehi di alam akhirat ialah mendapat syafaat iaitu pertolongan dan pembelaan dari Rasulullah SAW,khas bagi orang orang yang beriman pada Allah SWT dan kekal membaca selawat, dengan demikian mendapat :
• Dapat bersama sama dan berdamping dengan Rasulullah SAW di alam akhirat
• Kekal kasih di antara kita dengan Rasulullah SAW.
• Terlepas dari seksa dan huru hara di alam akhirat.
 
~Jom beramal teman-temanku
 

1 Julai 2018, yang lepas, genap umur abah aku 78 tahun.Syukur alhamdulillah. Sambutan hari lahir abah dibuat sehari awal kebetulan kami semua di Gombak Kuala Lumpur. Punyerla sibuk sebab Kak Nyah aku kalut nak renew pasport di Kedutaan Indonesia. Kali ke-3 aku dan akak aku gi situ baru siap semua dokumennya. Letih sangat dibuatnya. Aku cakap pada kakak aku, takpelah Allah lambatkan sikit proses renew pasport sebab ada urusan famili yang perlu diuruskan. Kak Nyah aku sebelum pulang Jakarta, dia sempat memasak Nasi briyani lauk daging. Sedap aku rasa, berselera aku makan. Tambah pulak abah aku punyer birthday.

Cuti Hari Raya Aidilfitri..
Seperti biasa bila raya je, saudara mara datang berkunjung. Aku kadang-kadang rasa tak tahu nak beri jawapan kalau pak cik atau mak cik aku tanya bila la nak makan nasi minyak kome ni haa..tengah kami hidup ni laa.. nak merasa tengok anak-anak sedara naik pelamin. Aku takde jawapan kalau itu soalannya. Aku speechless dan aku diamkan diri, hanya mampu berdoa dan sangka baik dengan Allah. Tapi bukan aku nak kata apale.. mak dan abah aku pun dulu kahwin lambat juga. Umur abah aku 34 tahun baru berkahwin dengan mak aku umur 27 tahun zaman tahun 70-an. Walaupun lambat kahwin, rezeki anak-anak ramai. Sebenarnya adik-beradik aku semua 11 orang. Yang hidup sihat walafiat 8 orang di dunia ini. 3 lagi keguguran waktu kecil. Semua tu rezeki Allah yang beri.Lambat atau cepat je.Aku ni anak ke 7 daripada 8 beradik. Tu pun abang-abang aku semua dah kahwin.Lega juga hati.Kalau tak, aku pun tak tahu ntah macam-macam benda soalan yang nak dijawab oleh famili aku.

Abah aku..
Aku nak citer fasal abah aku. Bila soalan-soalan sensitif ni ditanya kepada abah aku, abah aku boleh cool je. Paling relax, abah aku kata tolong carikan calon untuk deme ni, hehehe.. Orang lain yang kalut dan risau itu ini. Aku fikir ting tong je..
Ramai kawan-kawan aku ingat aku ni anak pak ustaz la, pak imam la.cikgu la..hehehe.. semua tu salah.Aku anak orang biasa-biasa je. Cuma abah aku ni bergaya orangnya. Pergi mana-mana mesti nampak kemas. Tak nampak sangat umur dekat nak 80-an. Orang sekali pandang nampak 60-an. Segak lagi abah aku rupernya.

Doaku..
Sebagai anak aku berdoa Allah panjangkan umur abah dan mak aku. Sebab kasih sayang mereka tak dapat dibeli dengan wang ringgit. Bagai menatang minyak yang penuh menyayangi aku dan adik bongsuku walaupun umur kami dah tua macam ni.Layanan mereka macam kami budak-budak kecil yang perlu diutamakan.Semoga aku dapat membahagiakan mereka dan bab calon Imam tu aku berserah dan bertawakal kepada Allah. Aku merancang,tetapi Allah juga merancang.Dan yang pasti perancangan Allah itu yang terbaik.Doakan aku teman-temanku.Yang terbaik Allah selalu hantar yang the last one.Aku yakin kepada takdir Allah.
Gambar ni di Kota Iskandar Johor Bharu, tahun 2015

Pesta Buku dan Sumbangan Kepada Syria


Dah lama jari-jemariku ni tak update blog..
Kali ini aku nak kongsikan isu-isu semasa yang patut korang ambil kisah sebagai umat Islam. Setiap hari kita akan tonton, baca dan mendengar rintihan, kesedihan dan jerih perit kehidupan umat Islam yang mengharungi detik-detik peperangan di dalam negara mereka seperti Syria, Palestin dan lain-lain. Bayangkan jika kita di Malaysia boleh makan bersama keluarga, belajar dengan seronok, tidur dengan nyenyak tapi nasib mereka tidak seperti kita. Susah-susah kita di Malaysia..ada lagi yang lebih susah. Betul atau tidak apa yang aku katakan ni?

Oleh itu, di ruangan blog ini aku sarankan adik,kakak,abang, mak cik,pak cik dan lain-lain untuk membeli buku ini sempena pesta buku di PWTC akan datang.Sambil membeli dan menderma. Kita tak mampu mengangkat senjata, tapi cukup juga kita hulurkan derma sebagai salah satu alternatif untuk membantu saudara seIslam kita yang kini mengharungi ujian peperangan daripada Allah. Semoga sedikit sebanyak bantuan anda dapat meringankan kesusahan mereka.

"Jadilah orang yang banyak memberi manfaat kepada orang di sekeliling kamu".

Layari fanpage "Tangisan Syria di Bumi Jordan" sekarang https://www.facebook.com/TangisanSyriaDiBumiJordan/?fref=ts
Buku Lelaki Terakhir Menangis di Bumi .. telah ditulis oleh adik Musa Nuwayri iaitu anak kepada bekas pensyarah UKM Prof Dr Kamaruzzaman Yusoff. Anda patut memiliki buku ini untuk memahami dan menghayati rentetan peristiwa isu Syria yang sebenarnya. Musa Nuwayri adalah pelajar yang sedang menuntut di sebuah universiti di Jordan bersama kawan-kawannya membantu dan menjalankan kerja-kerja amal di Jordan untuk pelarian rakyat Syria yang melarikan diri untuk mendapatkan perlindungan di Jordan.



Sedekad Pemergianmu

Hari ini 28 Mei 2016. Tinggal beberapa hari sahaja lagi kita akan masuk ke bulan Jun 2016. Betapa cepatnya masa berlalu. Alhamdulillah pagi tadi berkesempatan bertalaqqi Kitab Syamail Muhammadiah Karya Al-Imam Abu 'Isa Al-Tirmizi bersama Maulana Hussien Abdul Kadir Yusufi di Masjid UKM. Setiap bulan jika tiada aral melintang aku akan ke sana untuk menadah ilmu.

Imbasan Tahun 1999..
Aku bergelar pelajar Sekolah Raja Perempuan Taayah Ipoh Perak. Tarikh 1 Februari 1999 aku menjadi pelajar di sini. Walaupun hati aku macam berbolak balik sebab dapat tawaran ke tingkatan 1 MRSM Grik Perak hasil kejayaanku 5A dalam UPSR. Abah lebih suka aku belajar di sekolah yang dekat dengan rumah.Hanya 30 minit sahaja dan ada asrama. Lagipun sekolah agama ni tak sia-sia belajar. Ada gunanya untuk masa hadapan. Aku terpaksa redha.. Aku semak siapa contoh alumni pelajar sekolah ini yang patut aku contohi. Aku dapati Almarhumah DR Lo' Lo' Haji Ghazali iaitu anak bekas mufti Perak yang ketika itu menjadi seorang doktor perubatan dan Ahli Parlimen Titiwangsa yang menarik minatku untuk belajar di sini. Walaupun begitu hatiku masih berbelah bagi.. Waktu tu tak tahu pun lagi apa itu Solat Sunat Istikharah. Cuma satu sahaja yang aku pegang. Aku niat nak belajar kerana Allah dan nak jadi budak yang baik. Aku masuk ke tingkatan 1S. Di sini sistem belajar ada dua jenis. Belajar ilmu alat dan ilmu asas. Mudah kata ilmu akademik dan agama. Berat juga sebab subjek agama ni ada belajar Kitab I'dadi yang tulisannya semuanya Bahasa Arab. Ada yang berbaris ada yang tak. Subjek yang aku suka belajar ialah Sirah Nabawiyyah. Subjek itu diajar oleh Ustaz Ramli Basaruddin. Ustaz Ramli merupakan orang Indonesia dan pendidikan awalnya di pesantrean. Menurut kata guru-guru di sini Ustaz Ramli banyak ilmu dan pengalaman berbanding dengan ustaz-ustaz yang lain. Faktor utamanya dia pandai ajar pelajar-pelajar peringkat STAM (iaitu gabungan pelajar Taayah dan Izzuddin). Kebanyakan pelajar-pelajar yang dibimbingnya dapat keputusan yang cemerlang. Aku bersetuju..sebab waktu ustaz ajar subjek sirah..aku perhatikan beliau mengajar dengan hati yang ikhlas bukan sibuk nak habiskan silibus dalam buku itu. Sebaik-baik guru itu adalah yang mengajar dengan hati bukannya buku.. Pesan ustaz yang masih aku ingat..yang dikaitkan dengan sirah yang diajarkannya di kelas 1S..ialah zaman Arab Jahiliyah dahulu, perempuan dianggap sebagai hamba seks, kotor dan malu jika sebuah keluarga itu memiliki anak perempuan. Itu sebab anak perempuan di tanam hidup-hidup. Ironinya akhir zaman ini lagi kejam tak kira jantina lelaki atau perempuan di campak merata tempat bukannya ditanam. Nauzubillah. Apabila Rasulullah dilahirkan ke dunia ia membuka lembaran baru dan sinar cahaya untuk seluruh umat yang hidup dalam kegelapan dan kemaksiatan. Rasulullah telah meninggikan darjat perempuan ke tahap yang paling tinggi..Perempuan itu makhluk yang istemewa yang wajib dilindungi, disayangi dan dikasihi serta mendapat pengadilan yang sama sepertimana lelaki. Oleh itu perempuan mesti menjaga aurat, adab dan budi pekertinya agar tidak dirosakkan oleh jiwa-jiwa lelaki yang tidak tahu malu kepada Allah. Perempuan yang baik dan solehah adalah madrasah yang terbaik untuk seorang lelaki berkahwin dengannya agar dengan kehadiran perempuan yang menjadi pelengkap kepada lelaki itu dapat melahirkan zuriat yang soleh dan solehah seperti yang terkandung di dalam Surah Ibrahim ayat 40 : Wahai Tuhanku! Jadikanlah daku orang yang mendirikan sembahyang dan demikian juga zuriat keturunanku. Wahai Tuhan Kami, perkenankanlah doa permohonanku, Wahai Tuhan Kami! Berilah ampun bagiku dan bagi kedua-dua ibu bapaku serta bagi orang-orang yang beriman pada masa berlakunya hitungan amal dan pembalasan.
 Teknik yang ustaz ajar, ustaz takkan tergesa-gesa habiskan satu-satu bab itu. Beliau akan kupaskan bab itu dan akan diulang-ulangkan semula pada setiap permulaan kelas. Kadangkala ustaz akan tempah bilik tayangan untuk kami kelas pelajar tingkatan 1S menonton filem Kisah Rasulullah yang dilakonkan semula oleh pelakon-pelakon dari Mesir dan lain-lain. Aku pun tak berapa nak ingat judul filem itu. Filem itu warna merah.Tapi kaedah yang ustaz pakai inilah yang aku lebih terkesan ingat sampai sekarang.Syukur alhamdulillah.

Imbasan Tahun 2006..
Waktu itu usiaku awal 20-an. Aku pulang ke kampung untuk berbincang dengan guru-guru di SERATA untuk mengadakan Kem Kepimpinan Pelajar Islam yang julung-julung kali diadakan ini. Aku cuba menghubungi kawan-kawan satu batch dan batch-batch senior yang masih berhubung denganku untuk turun berkongsi ilmu dan pengalaman yang berharga di universiti  dengan adik-adik junior SERATA. Beberapa mesyuarat kecil telah diadakan untuk merancang aktiviti-aktiviti yang boleh memberi manfaat kepada adik-adik junior ini. Aku sempat juga jumpa dengan Ustaz Ramli. Mesti kena jumpa untuk dengar nasihat dan selingan lawak jenakanya. Ustaz cam muka aku tapi bab nama tu payah sikit sebab aku bukan pelajar aliran agama. Tak mengapa lah bab itu janji aku dapat ilmu itu sudah memadai dan ustaz akan mendoakanku setiap kali aku minta sesuatu nasihat dan doa. InsyaAllah ada jalan kemudahan yang Allah permudahkan.

.......Bulan Jun...Suatu petang aku terima satu sms yang membuat hatiku sebak dan aku menangis. Tak sangka semalam adalah hari terakhir aku melihat ustaz dari jauh dari luar bilik guru. Aku pun tak tahu mengapa aku tak nak jumpa ustaz semalam. Walhal boleh katakan setiap hari aku kalau boleh nak bertembung dengan ustaz.. Patut semalam hatiku sayu je tengok ustaz dari jauh dari luar bilik guru. Entah mengapa aku pun tak tahu.. Petang ini cerita sedih kuterima Ustaz Ramli sudah kembali kerahmatullah setelah jatuh pengsan akibat strok.. Macam tulah sms yang rasanya aku ingat..Waktu aku berkunjung ke rumah almarhum ustaz beberapa kali solat jenazah dilakukan kerana almarhum ramai anak-anak muridnya. Setelah jenazah selamat dikebumikan hujan turun selebat-lebatnya seolah-olah menangisi pemergian seorang guru yang menghabiskan usianya untuk mengajar ilmu yang bermanfaat untuk generasi yang baru. Aku terasa kehilangannya. Aku berdoa semoga Allah gantikan aku dengan guru yang lebih baik lagi. Alhamdulillah tahun 2013/2014 doaku dimakbulkan Allah. Aku berkesempatan menadah ilmu secara talaqqi dengan Maulana Hussien. Aku yakin dan percaya inilah doa yang pernah aku titipkan ketika aku kehilangan seorang guru @ murabbi yang banyak mengajar aku erti kehidupan. Aku berpeluang belajar selok belok pengajian hadis melalui Kitab Misykat al-Masobih dan Kitab Syamail Muhammadiah yang ada hubungan dengan sunnah dan sirah nabi s.a.w.

Tahun 2016..
Hampir nak masuk bulan Jun aku mesti ingat kisah sedih ini. Pejam celik..pejam celik ..genap sedekad pemergianmu wahai guruku. Hanya doa kupanjatkan kepada Allah supaya merahmati dan mencucuri rohmu di sana. Aku berjanji akan terus menuntut ilmu sehingga akhir hayatku dan akan memberi manfaat dengan ilmu yang ada untuk diri, keluarga dan ummah. Ya Allah permudahkanlah cita-citaku dan impianku yang baik-baik ini..Ameen Ya Rabb..
SELAMAT HARI GURU aku kuucapkan kepada semua guru-guruku yang pernah mendidik dan mengajarkanku sehingga aku berada di tahap ini. Guru yang paling hampir denganku adalah emak dan abahku sendiri. Hanya Allah jualah yang dapat membalas kebaikan kalian semua kepadaku.



Bangi Jam 2.05 PM



Peristiwa bersejarah ini telah dirakamkan oleh Allah melalui firmanNya di dalam Surah al-Isra' ayat 1. Semoga kita bersama-sama mengambil pengajaran yang bermanfaat buat bekalan meniti kehidupan di dunia yang fana ini. Mudah-mudahan InsyaAllah sahabat-sahabatku sekalian.




Privasi itu Bahagia






Zaman dunia tanpa sempadan WWW (World Wide Web) hanya di hujung jari sahaja segala maklumat dari sekecil-kecil berita hingga sebesar-besar berita boleh kita akses tanpa kawalan dan sempadan.. liputan terbaik yang kita baca..setiap hari.. Oleh itu.. awasilah diri anda agar anda tidak diaibkan oleh perbuatan anda sendiri.
Privasi itu Bahagia

Kekasih Allah

        Sudahkah anda berselawat kepada Nabi Muhammad s.a.w pada hari ini? Atau adakah kita lebih suka menghabiskan banyak masa di alam maya dengan pelbagai jenis gajet ? Atau adakah kita banyak berbicara soal duniawi yang tak berkesudahan ? Atau adakah kita banyak menghabiskan masa di pusat-pusat hiburan atau pusat membeli belah? Atau adakah kita bercouple "Islamik" atau "Konvensional" sehingga dunia ini kita yang punya?Tanya sama hati? 
        Saban tahun apabila muncul bulan Rabiul Awwal kita akan meraikan Sambutan Maulidur Rasul. Pada tahun ini tanggal 24 Disember 2015 (12 Rabiul Awwal 1437H) kita akan menyambut sambutan baginda s.a.w. Tidak salah menyambut kelahiran sambutan junjungan mulia Nabi Muhammad s.a.w, walaupun terdapat sedikit perdebatan sama ada bida'ah dan tak bida'ah. Umat Islam pada hari ini perlu kepada mekanisme untuk membina Tamadun Islam semula beracuankan sumber Al-Quran dan Sunnah di samping tidak mengetepikan hukum-hukum adat yang tidak menyalahi syarak kerana kita berada di alam Nusantara yang mempunyai keunikan yang tersendiri. Lontarkan persoalan khilaf dan furu' itu sejauh-jauhnya. Fokus kita ke arah kemenangan Islam.Betapa ruginya umat Islam banyak menghabiskan persoalan furu' yang tidak berkesudahan kerana para orientalis barat dan cendikiawan barat setiap hari membuat perancangan yang rapi bagaimana nak melalaikan umat Islam daripada menghayati isi kandungan Al-Quran dan Sunnah. Umat Islam pada hari ini "Bagai Buih di Lautan".
        Antara tanda penghormatan dan rasa kecintaan kepada Rasulullah SAW ialah melalui membaca selawat. Semakin banyak selawat dilafaz semakin besar fadilat dan ganjaran pahalanya di sisi Allah SWT. Kita seharusnya selalu membaca selawat dan jangan menunggu ketika tibanya musim Maulidur Rasul barulah hendak mempergiatkan bacaan itu. Sebenarnya, bukan manusia mukmin saja yang rindu dan cintakan Rasulullah SAW, kerana jika rajin menyusuri sirah Baginda akan terpahat satu kisah yang sebenarnya patut kita semat di dalam hati sebagai penghayatan.
Diceritakan oleh Jabir bin Abdullah, katanya,
“Dulu, masjid menggunakan atap dari pelepah kurma. Apabila berkhutbah, Baginda Rasulullah SAW berdiri berdekatan salah satu pelepah itu. Apabila dibina sebuah mimbar untuknya, Baginda selalu berdiri di atasnya. Kami mendengar tangisan dari pelepah itu seperti unta bunting, sehingga Rasulullah SAW datang mendekatinya lalu mengelus pelepah itu, kemudian pelepah itu terdiam.” (Riwayat Bukhari)
Baginda Rasulullah SAW berpindah ke mimbar yang baru dibina itu adalah hasil pandangan sahabat, memandang semakin ramainya jemaah. Jadi, berdasarkan kisah itu, dapat kita tafsirkan betapa Rasulullah SAW menjadi manusia yang sentiasa dirindu seluruh makhluk Allah kerana Baginda pembawa rahmat.
 
Kejadian yang dapat disaksikan oleh sahabat Baginda membuktikan kenabian Rasulullah SAW dan hal itu memperkukuhkan iman dan takwa dalam kalangan mereka. Aisyah pernah menceritakan bahawa Rasulullah SAW pernah berada di tengah-tengah sekelompok kaum Muhajirin dan Ansar. Lalu datang seekor unta dan bersujud kepada Baginda, maka berkatalah sahabat, ‘Wahai Rasulullah SAW, binatang dan pohon bersujud kepadamu, maka kami adalah lebih sepatutnya bersujud kepadamu.’
Lantas Rasulullah SAW segera menjawab,
“Sembahlah Tuhanmu dan muliakanlah saudaramu. Sekiranya saya menyuruh seseorang untuk bersujud kepada orang lain, nescaya saya menyuruh wanita bersujud kepada suaminya. Dan sekiranya saya menyuruhnya (wanita) berpindah dari gunung kuning ke gunung hitam dan dari gunung hitam ke gunung putih, maka tidaklah patut baginya untuk melaksanakannya.” (Riwayat Ahmad)
Di sini, ada beberapa aspek yang diajarkan Rasulullah SAW kepada kita semua. Satu, kita tidak boleh menyembah atau sujud selain daripada Allah SWT. Keduanya ialah Rasulullah SAW ada juga menyelitkan unsur pengajaran kepada kaum wanita supaya taat dan patuh kepada suami. Dua aspek itu digabung dan inilah kelebihan Rasulullah SAW apabila mendidik sahabat.
Selain itu, Baginda Rasulullah SAW melalui dialognya dengan sahabat ada menekankan perkara habbluminnas (hubungan semasa insan). Baginda meminta kita agar bersikap memuliakan saudara seagama kita. Tetapi seandainya kita secara jujur meneropong situasi semasa yang terjadi dalam kalangan mukmin, maka bertanyalah kita, apakah suruhan Baginda itu kita patuhi ?
Yang banyak berlaku ialah saling menghina, dengki-mendengki, fitnah-memfitnah dan seribu satu macam perangai mazmumah (keji) yang dilakukan. Sepatutnya kita sentiasa ingat akan apa yang Allah pesan,
“Apa yang diberikan Rasul kepadamu maka terimalah ia. Dan apa yang dilarangnya bagimu, maka tinggalkanlah dan bertakwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat keras hukuman-Nya.” (Surah al-Hasyr ayat 7)
Kehebatan Rasulullah diakui oleh Orientalis Barat 
Sebenarnya, keunggulan Rasulullah SAW terus menerus mencatat reputasi terhebat dalam sejarah peradaban manusia. Jika sebelum ini, kita hayati sendiri bagaimana haiwan dan pokok pun hormat dan cintakan Baginda dan hal seperti itu adalah mukjizat yang Allah SWT kurniakan kepada Baginda sebagai bukti kerasulannya. Malah dalam kalangan bukan Islam di dunia Barat pun turut memperakui kehebatan Baginda.
Misalnya, tokoh legenda Perancis yang tersohor, Napoleon Bonaparte. Dia walaupun bukan seorang Islam, namun dia pernah berkata, “Saya tabik kepada manusia agung ini. Saya tabik hormat kerana keagungan akal dan hatinya.”
Tentu sekali pandangan peribadi Napoleon itu jarang kita temui, kerana laporan benar dan jujur mengenai Rasulullah SAW sentiasa saja ‘terlipat dan tersembunyi’. Malah jika boleh, luahan jujur orang-rang Barat yang bukan Islam mengenai kehebatan Nabi kita akan cuba disorok sedalam-dalam agar tidak kelihatan.
Baiklah, kita ambil satu lagi pandangan ikhlas seorang ilmuwan dari Itali, Prof Laura Vecccia Vaglieri yang lebih terkenal sebagai seorang orientalis banyak menghasilkan artikel mengenai Islam. Katanya, “Semasa menyeru manusia supaya menyembah Allah yang Maha Esa, Muhammad tidak pernah menggunakan pendekatan yang menghalang manusia daripada berfikir mengenai kebenaran. Beliau tidak menggunakan pendekatan sihir yang memukau penglihatan, tidak juga menyeru dengan menggunakan ancaman serta ugutan. Apakah yang beliau lakukan? Beliau menyuruh mereka supaya menggunakan akal dan bertafakur mengenai kejadian alam dan rahsia kejadiannya. Dalam bahasa mudah, dia menyuruh manusia membaca ‘Buku Alam’ dan berfikir mengenainya supaya dengannya manusia yakin ada kewujudan Illahi.”
Begitulah panjang lebarnya cetusan tokoh Barat itu dalam memperkatakan tentang keunggulan Rasulullah SAW. Tetapi mengapakah pada masa ini mereka tidak membaca dan mengambil peduli apa yang tokoh-tokoh mereka pernah katakan itu hinggakan tercetus Islamofobia dengan sengaja mewujudkan bentuk provokasi sentimen agama yang sempit dan tidak bertamadun.
Masih banyak lagi tokoh-tokoh Barat yang bukan Islam yang mengakui kelebihan agama Islam dan mereka mengangkat imej Nabi SAW di puncak tinta kajian mereka.
Michael H Hart seorang sejarawan, pakar matematik dan ahli astronomi terkemuka di Barat meletakkan nama Nabi kita pada kedudukan teratas dalam kalangan 100 orang tokoh dikagumi.
Inilah semua menjadi bahan bukti yang mempamerkan kepada kita Rasulullah SAW sejak zaman hayat Baginda begitu dimuliakan, dihormati, dirindu dan dicintai sahabat, kaum muslim malah segala makhluk di muka bumi ini turut merasainya.
Oleh demikian, marilah kita mempertajamkan rasa cinta terhadap Baginda bukan hanya sekadar berselawat saja, tetapi mengikuti setiap apa sunnah Baginda agar kehidupan dunia menjadi sejahtera dan akhirat dilimpahi bahagia.

Renungan : Kita takkan bertepuk sebelah tangan apabila kita memperbanyakkan selawat ke atas nabi kerana kita memerlukan syafaat nabi sewaktu hari perhitungan kelak. Tetapi apabila kita menyintai manusia , belum tentu manusia itu juga menyintai kita. Cintailah Allah dan Rasul lebih daripada kamu menyintai manusia.

 sumber http://epondok.wordpress.com/