Bantahan rakyat

45 NGO bantah serangan Israel di Kedutaan AS


Sekumpulan NGO berarak untuk menyerahkan memorandum bantahan terhadap serangan Israel ke atas Palestin di Kedutaan Amerika Syarikat di Kuala Lumpur, semalam.


KUALA LUMPUR 30 Dis. - Kira- kira 300 ahli dari 45 badan bukan kerajaan (NGO) berhimpun di hadapan Kedutaan Amerika Syarikat (AS) di Jalan Tun Razak di sini hari ini bagi membantah serangan terbaru Israel ke atas Palestin.

Mereka mula berkumpul pada pukul 11 pagi di masjid bangunan Tabung Haji sebelum berarak menyerahkan memorandum kepada pihak kedutaan.

Memorandum yang ditujukan kepada Presiden AS, George W. Bush dan Perdana Menteri Israel, Ehud Olmert itu mengandungi bantahan serangan kejam tentera Israel terhadap orang awam di Palestin baru-baru ini.

Jurucakapnya, Dr. Syed Azman Syed Ahmad berkata, mereka menghantar memorandum tersebut kepada pegawai keselamatan wilayah kedutaan itu pada pukul 12 tengah hari.

"Dalam memorandum, kita menyatakan kekesalan terhadap Israel kerana tidak menghormati undang-undang digariskan oleh Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB).

"Israel menyerang dan mengepung 1.6 juta penduduk Palestin termasuk menafikan hak mereka mendapatkan keperluan asas dan perubatan," katanya ketika ditemui di sini hari ini.

Operasi Cast Lead tentera Israel yang dilancarkan sejak 27 Disember lalu, sehingga kini telah membunuh 310 rakyat Palestin termasuk puluhan penduduk awam dan mencederakan lebih 1,400 orang lagi.

Timbalan Ketua Polis Daerah Cheras, Supritendan Abd. Rahim Hamzah Othman berkata, 80 anggota dan pasukan Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) digunakan untuk mengawal keadaan.

Katanya, perhimpunan tersebut berjalan dengan lancar dan aman tanpa sebarang kejadian tidak diingini berlaku.

0 Response to "Bantahan rakyat"