Kembalikan bahasa Ibunda ...




7 Mac 2009 bakal menjadi tarikh keramat dan satu lagi sejarah tercipta di tanah air tercinta ini apabila para pejuang bahasa Melayu bakal turun dalam perhimpunan aman raksasa di hadapan Istana Negara,Kuala Lumpur(Jam 2.oo Petang) sebagai satu bantahan keras terhadap usaha untuk meneruskan dasar PPSMI.

Setelah sekian lama membantah melalui sesi seminar,bengkel,penyerahan memorandum bantahan,dan melalui pendedahan ilmiah kajian terhadap kegagalan dasar PPSMI ini.

Akhirnya pejuang-pejuang Bahasa Melayu melalui Gerakan Mansuhkan PPSMI(GMP) yang dianggotai oleh pejuang-pejuang Bahasa Melayu,ahli parti politik,ahli akademik-cendekiawan,golongan korporat,mahasiswa dan seluruh rakyat daripada pelbagai latar belakang pendidikan bertekad untuk mengajar pimpinan politik yang terus berdegil ,membisu dan memekakkan telinga daripada mendengar keluahan rakyat serta ingin meneruskan dasar yang menyusahkan rakyat bawahan ini.

Walaupun dituduh dengan pelbagai tohmahan seperti fikiran jumud,terlampau mengikut emosi,anti Bahasa Inggeris dan lain-lain fitnah dan propaganda ,pejuang-pejuang Bahasa Melayu tetap istiqamah mendaulatkan bahasa rasmi Malaysia ,Bahasa Melayu.

Nama-nama besar dalam perjuangan Bahasa Melayu seperti Dato Hassan Ahmad(bekas Ketua Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka),Prof Shaharir bin Mohamad Zain(anak Melayu pertama mendapat PHD dalam Matematik),Profesor Emeritus Dr.Abdullah Hassan(Profesor bahasa)Dato A.Samad Said(Sasterawan Negara) dan ramai lagi bakal turun bersama-sama rakyat dalam perhimpunan aman raksasa ini nanti.

Justeru itu Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya mengajak seluruh mahasiswa di Malaysia untuk bersama-sama dengan perjuangan pejuang-pejuang Bahasa Melayu ini demi maruah Bahasa Melayu dan demi negara tercinta,Malaysia.

”Bahasa Melayu Bahasa Rakyat Malaysia”
(Penulis merupakan Yang Dipertua Persatuan Bahasa Melayu Universiti Malaya (PBMUM))

0 Response to "Kembalikan bahasa Ibunda ..."