Renungan di Idulfitri 1 Syawal 1430Hijrah




“Dan berikanlah kepada kerabat-kerabatmu, dan orang miskin serta orang musafir akan hak masing-masing Dan janganlah engkau membelanjakan hartamu dengan boros yang melampau-lampau. Sesungguhnya orang-orang yang boros itu saudara-saudara syaitan, sedang syaitan itu pola adalah mahkluk yang sangat kufur kepada Tuhannya.”

Sebenarnya kita menyambut Hari Raya Aidil Fitri adalah bertujuan untuk meraikan kejayaan kita yang telah berjaya menjalani ibadah puas sepanjang bulan Ramadan dengan penuh keimanan dan keikhlasan. Dalam hal ini Islam menggariskan panduan tentang cara bagaimana kita merayakan hari raya agar semua yang kita lakukan menjadi ibadah. Contohnya, dalam kita menyambut malam hari raya, kita disunatkan menghidupkannya dengan memuji kebesaran Allah melaungkan kalimah-kalimah takbir, tahmid, bersolat tasbih, berdoa, berzikir dan sebagainya. Kerana itu, janganlah kita merayakan malam hari raya tersebut dengan melakukan perkara-perkara yang merugikan kita lebih-lebih lagi yang boleh mendatangkan bahaya, kemudaratan, menganggu ketenteraman orang ramai seperti membakar mercun, berlumba di jalan raya dan sebagainya. Dan elakkan daripada membuat persiapan di saat-saat akhir sehingga larut malam yang boleh menjejaskan peluang untuk kita bersembahyang sunat hari raya.

Perlulah diketahui bahawa ada beberapa amalan sunat yang perlu dilakukan pada pagi hari raya seperti disunatkan mandi dengan niat kerana kedatangan Aidil Fitri dan bukannya mandi semata-mata hanya untuk membersihkan diri. Disamping itu kita disunatkan memakai bau-bauan yang harum, memakai pakaian yang baru kerana hari raya merupakan hari untuk berhias-hias. Manakala perkara yang paling penting dan utama daripada perkara-perkara sunat yang lain dalam kita menyambut hari raya ialah menunaikan sembahyang sunat hari raya sebagaimana Hadis Rasulullah SAW:

Maksudnya: “Dari al-Barra’ katanya Rasulullah SAW keluar pada hari raya Aidil Adha ke kubur Baki’ lalu Baginda solat sunat dua rakaat, kemudian Baginda mengadap ke arah kami dan bersabda: sesungguhnya yang terawal sekali kita mulakan pada hari ini (hari raya) ialah sembahyang.”

(Riwayat al-Bukhari)


Seterusnya kepada yang ingin pulang menyambut hari raya di kampung halaman bersama keluarga dan sanak saudara, utamakan keselamatan ketika memandu, jangan memandu mengikut perasaan, memandulah dengan mengikut peraturan dan undang-undang, memastikan kenderaan dalam keadaan baik, janganlah kita cuai serta memandu dengan melebihi had laju yang dibenarkan kerana ia boleh mengundang kecelakaan dan membunuh. Sayangilah nyawa keluarga dan para pengguna jalan raya yang lain. Marilah kita berusaha untuk mengelakkan kemalangan dengan memandu secara berhemah, berdisiplin dan bertimbang rasa. Di samping sentiasa berdoa dan bertawakal kepada Allah memohan keselamatan dan keberkatan di sepanjang perjalanan kita.

Kita doakan semoga kita diberi keberkatan dan keampunan serta dipanjangkan umur bertemu dengan Ramadan akan datang.

Akhirul kalam "SALAM IDULFFITRI MINAL AIDIL WAL FAIZIN"

0 Response to "Renungan di Idulfitri 1 Syawal 1430Hijrah"