17 Ramadhan 2 Peristiwa Berlaku


“Bulan Ramadhan, bulan yang di dalamnya diturunkan (permulaan) Al-Quran sebagai petunjuk bagi manusia
dan penjelasan mengenai petunjuk itu serta pembeza (antara yang haq dan yang bathil)” [TMQ al-Baqarah
(2):185].

Wahai kaum Muslimin! Daulah Khilafah telah dihancurkan pada 3 Mac 1924. Sejak saat itu, hukum Allah tidak lagi
diterapkan di muka bumi, sebaliknya diganti dengan hukum kufur penjajah. Sejak saat itulah manusia telah tidak
berhukum dengan apa yang Allah telah turunkan, sebaliknya menggantikannya dengan hukum-hakam buatan tangan
manusia. Al-Qur’an bukan setakat diambil acuh tak acuh, malah ditinggalkan terus dan lebih buruk, dipertikaikan
kesesuaian hukumnya. Hukum Al-Qur’an telah lenyap seiring dengan lenyapnya Daulah Khilafah. Tanpa ada sebuah
negara, mustahil semua ayat Al-Qur’an dapat diterapkan. Benarlah kata Imam Al-Ghazali, “Agama adalah asas dan
kekuasaan (negara) adalah penjaganya. Sesuatu yang tidak ada asasnya akan rapuh; sesuatu yang tidak ada
penjaganya, akan hilang.”

Memang benar bahawa setiap Muslim sepatutnya memperingati tarikh penurunan Al-Qur’an. Al-Qur’an merupakan
sebuah kitab yang diturunkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’ala kepada Muhammad Rasulullah Sallallahu ‘alaihi wa
Sallam untuk disampaikan kepada umat manusia. Al-Qur’an adalah petunjuk (huda) dan pembeza (furqân).

Adakah Al-Qur’an Sekadar Untuk Diperingati dan
Dibaca?
Sempena Nuzul Al-Qur’an ini, marilah kita dengan penuh
iman dan taqwa memuhasabah diri kita, apakah kita selama
ini telah mengambil Al-Qur’an sebagaimana yang Allah
perintahkan, atau selama ini kita hanya beriman dengan
sebahagian dari Al-Qur’an atau justru telah mengabaikan
Al-Qur’an? Apakah selama ini Al-Qur’an telah benar-benar
kita jadikan petunjuk, sumber hukum, sekaligus sebagai
penyelesai segala masalah kehidupan kita? Ataukah
sebaliknya, kita malah meninggalkan dan
mencampakkannya?
Kebanyakan kita berusaha menjaga fizik Al-Qur’an. Kita
tidak akan meletakkan Al-Qur’an di lantai atau di kerusi
atau lain-lain tempat yang kita rasakan tidak sesuai. Kita
akan marah jika mendapati sesiapa sahaja yang tidak
‘menjaga’ Al-Qur’an. Kita turut sensitif dan merasa amat
marah apabila mendengar dan melihat Al-Qur’an dipijak,
dibakar atau dibuang di dalam tandas. Kita juga tidak akan
berdiam diri jika Al-Qur’an dihina, diremeh atau
dipermainkan di dalam apa bentuk sekalipun. Kita memang
akan menjaga kemurnian Al-Qur’an dari segala bentuk
penodaan dan pemalsuan. Segala usaha ini sangat baik
dan memang sudah menjadi tugas dan kewajiban kita yang
harus kita tunaikan. Namun, kita sering hanya berhenti
sebatas ini sahaja. Umat Islam berusaha untuk menjaga
fizik Al-Qur’an, tetapi tidak berusaha untuk memahami isi
kandungannya dan menerapkan hukum-hakamnya. Umat
Islam marah apabila Al-Qur’an dihina, tetapi mereka sendiri
‘menghina’ Al-Qur’an dengan tidak mengamalkan hukumhukum
yang terdapat di dalamnya. Umat Islam sakit hati
apabila Al-Qur’an dikatakan telah ketinggalan zaman,
tetapi mereka sendiri telah berzaman meninggalkan ajaran Al-Qur’an.

Beberapa Kekeliruan Lain Terhadap Al-Quran
“Aku telah meninggalkan pada kalian dua perkara;
jika kalian berpegang teguh pada keduanya maka
kalian tidak akan tersesat selama-lamanya, iaitu
Kitabullah dan Sunnah NabiNya” [HR Muslim].
Sebahagian lain kaum Muslimin tidak mengambil A-Qur’an
sebagai petunjuk, tetapi menjadikan al-Quran sebagai
sebuah ‘kitab mistik’. Al-Quran disimpan baik-baik di
rumah dan hanya digunakan untuk hal-hal yang
berunsurkan mistik misalnya menjadikannya sebagai
azimat, tangkal, pelaris, penolak bala, pengusir syaitan
dan sebagainya. Malangnya Al-Quran tidak dijadikan
sebagai ’pengusir’ pelbagai macam sistem kufur yang
diterapkan di tengah-tengah umat saat ini seperti
Sekularisme, Kapitalisme, Liberalisme, Demokrasi, Hak
Asasi Manusia dan lain-lain lagi. Mereka lebih suka
mengambil Al-Qur’an sebagai sebuah ‘kitab magik’ yang
boleh menguntungkan jualan, memurahkan rezeki,
berubat, menghalau hantu dan pelbagai ‘kepentingan
peribadi’ lainnya daripada mengambil A-Qur’an sebagai
kitabullah yang mengandungi syariat yang wajib
diterapkan ke atas umat manusia keseluruhannya serta
membawa rahmat ke seluruh penjuru alam.

Kembali Kepada Al-Qur’an Dengan Cara Yang Benar
Wahai kaum Muslimin! Marilah kita akhiri sikap yang tidak
sepatutnya terhadap Al-Qur’an. Kuburkanlah segala
kesalahfahaman kita tentang Al-Qur’an. Mari kita jadikan
Ramadhan dan Nuzul Qur’an ini sebagai momentum untuk
kembali kepada fahaman yang benar terhadap Al-Qur’an.
Mari kita jadikan Ramadhan ini sebagai momentum untuk
meneguhkan tekad kita untuk senantiasa memuhasabah
diri kita dengan Al-Qur’an; membaca, memahami dan
menghayati maknanya; mengamalkan isi kandungannya;
serta menjadikannya sebagai sumber hukum untuk
mengatur segala urusan kehidupan kita dan sumber
penyelesaian atas seluruh masalah kita; seterusnya
menerapkan segala isi kandungannya di dalam bentuk
per individu, bermasyarakat dan bernegara.

Di samping Nuzul Qur’an, 17 Ramadan juga adalah tarikh berlakunya peristiwa penting yang telah merubah sejarah dan nasib umat Islam iaitu Perang Badar Al-Kubra. Badar Al-Kubra telah berlaku pada pagi hari Jumaat 17 Ramadan, tahun kedua Hijrah.

Peristiwa agung ini menyaksikan peristiwa ajaib di mana tentera Muslim seramai 313 orang telah berjaya mengalahkan tentera musyrikin seramai 1000 orang. Tentera Islam yang serba kekurangan telah mengalahkan tentera Abu Jahal yang tiga kali ganda lebih ramai dan lengkap dengan kelengkapan tentera. Logik akal mungkin tidak dapat menerima bagaimana kumpulan yang lemah, malah tidak makan kerana sedang berpuasa ini boleh mengalahkan musuh mereka.

Kemenangan tentera Islam, selain daripada kebijaksanaan Rasulullah dan para sahabat merancang strategi perang, adalah kerana keyakinan dan iman mereka yang tinggi terhadap Islam dan pertolongan Allah.

Ketika menghampiri perang, Rasulullah telah berdoa kepada Allah sambil bermunajat:

“Ya Allah! Ya Tuhanku! Perkenankan apa yang telah Engkau janjikan kepadaku. Ya Allah! Ya Tuhanku! Jika jemaah Islam ini binasa, maka tidak akan ada lagi orang yang akan menyembah-Mu di bumi ini.”

Doa Rasulullah kemudiannya telah dimakbulkan, sebagaimana disebut di dalam Al-Qur'an yang bermaksud:

“(Ingatlah) ketika kamu memohon pertolongan kepada Tuhan kamu, lalu Allah perkenankan permohonan kamu (dengan firman-Nya): Sesungguhnya Aku akan membantu kamu dengan seribu (bala tentera) daripada malaikat yang datang berturut-turut.” Surah al-Anfal, ayat 9)

Peristiwa Badar merupakan motivasi yang amat penting bagi umat Islam. Badar Al-Kubra telah membuktikan yang golongan yang kecil dan minoriti dapat mengalahkan golongan yang besar dan kuat. Inilah motivasi utama para pejuang dan pendakwah Islam seluruh dunia dalam meneruskan tugas dakwah. Ketika umat Islam dihina dan diperlakukan semaunya di setiap pelusuk dunia, peritiwa Badar akan sentiasa menjadi ingatan dan pegangan kita. Ingatan bahawa kita bukan umat hina, kita ada Allah tempat mengadu dan kita harus terus berjuang meneruskan hidup dan berjihad untuk memartabatkan agama di muka bumi ini. Umat Islam harus terus berjihad melalui tulisan, ucapan, ekonomi, pendidikan dan segala bidang kehidupan. Kita harus berusaha bersungguh-sungguh untuk meningkatkan upaya diri dan mengangkat umat dari belenggu kejahilan dan kemaksiatan.

Badar juga telah mengajar kita bahawa bagaimana sukar sekalipun cabaran yang diterima, akhirnya kebenaran dan hak akan tetap terserlah, manakala kebatilan dan kepalsuan akan musnah ditimpa kehinaan.

Doa adalah senjata mukmin. Badar mengajar kita, selepas sempurna perancangan dan usaha, kita harus tidak jemu menadah tangan berdoa kepada Allah dalam apa jua keadaan, susah ataupun senang. Ingatlah pertolongan Allah akan datang pada hambanya yang beriman dan yakin akan Rahmat Nya.

0 Response to "17 Ramadhan 2 Peristiwa Berlaku"