Anak Luar Nikah ..




Sebak sedih terharu marah geram dan pelbagai-bagai lagi perasaan menyelubungi diri ini apabila melihat gambar bayi comel yang dihurungi semut di dalam dada-dada akhbar beberapa hari ini. Lebih menyesakkan dada apabila dua hari lepas dipaparkan pula kejadian dahsyat tanpa perikemanusiaan di mana seorang bayi dicampakkan ke dalam tong sampah dan dibakar di Kuala Krai, Kelantan. Kejadian ini amat kejam dan kejadian tersebut adalah kejadian keempat kes buang bayi yang dilaporkan sepanjang minggu ini sahaja

Isu buang bayi ini bukanlah isu baru, dahulu ia pernah hangat seketika kemudian kembali senyap tetapi kini semakin menjadi-jadi. Sebelum dari ini kita banyak mendengar berita beberapa kejadian dengan banyaknya penemuan bayi tidak berdosa, kebanyakannya hanya tinggal jasad, dengan litupan hanyir sampah sarap dan gigitan semut merah.

Kita membaca lagi berita mengenai dua mayat bayi ditemui di Pulau Pinang - seorang daripadanya lelaki, ditemui di depan pintu tandas wanita di tingkat satu Kompleks Tun Abdul Razak (Komtar). Mayat bayi kedua masih masih lagi berdarah, terapung di perangkap sampah dalam kolam Indah Water Konsortium (IWK), berhampiran Pusat Perniagaan Asas Murni Taman Sukun

Perangkaan ibu pejabat polis persekutuan Bukit Aman mendapati 65 kes buang bayi dicatat pada 2000 dan meningkat kepada 83 kes tahun lalu. Selangor mencatatkan angka tertinggi iaitu 22 kes (pada 2000) dan 24 kes (2006). Daripada jumlah tahun lalu, 79 kes membabitkan kes pembuangan bayi yang baru dilahirkan dan empat lagi kes pembuangan janin.Perkara ini bukanlah perkara yang boleh dibuat main-main dan ianya harus dipandang serius permasalahan ini kerana ia berkaitan dengan isu wanita dan juga keluarga.

Dalam kita membincangkan kes buang bayi ini kita tidak dapat lari dari isu anak luar nikah. Di dalam membincangkan isu anak luar nikah ini pula kita tidak dapat lari dari persoalan zina yang makin berleluasa di kalangan umat Islam kebelakangan ini. Justeru itu untuk membendung permasalahan seperti ini dari terus terusan berleluasa maka jalan yang boleh melorongkan ke arah perlakuan zina ini harus ditutup serapat-rapatnya. Hal ini telah dijelaskan oleh Allah di dalam firmannya di dalam surah Al-Isra ayat 17 yang bermaksud “Dan janganlah kamu mendekati zina, sesungguhnya zina itu adalah suatu perbuatan keji dan suatu jalan yang buruk”.

Ayat di atas secara jelas menyentuh tentang zina di mana umat Islam adalah dilarang melakukan zina kerana kesannya dalam masyarakat adalah amat buruk. Kesannya bukan sahaja kepada individu tersebut malahan kepada masyarakat kerana kesannya akan memberi impak kepada keturunan, malah ianya juga boleh mengundang kepada jenayah lain seperti membunuh. Ini yang berlaku hari ini di mana bayi yang lahir dari perut ibunya sanggup dibunuh dengan kejam dengan membakar bayi tersebut dengan tanpa belas kasihan bagi tujuan menghilangkan bukti kononnya secara tidak langsung ianya menggambarkan perlakuan pelakunya adalah suatu tindakan kebinatangan yang harus dibendung dengan segera. Malahan tindakan tersebut lebih buruk dari binatang kerana ada binatang yang menyayangi anak mereka.

Justeru itu tindakan yang proaktif harus di ambil oleh semua pihak kami membendung gejala ini diperingkat akar umbi. Maksud dibendung ini adalah membendung dari peringkat awal dari berlakunya jenayah ini dan bukannya mengambil tindakan yang berbentuk sementara dengan melaungkan idea agar sebuah rumah membuang bayi didirikan agar remaja yang terbabit meletakkan anak tak sah mereka di situ. Perkara ini akan mengundang ke arah tindakan negatif dan kurang berhemah kerana tindakan ini akan mengundang kepada berlakunya perzinaan kerana remaja ini tidak perlu gusar dan bimbang kerana jika perkara ini berlaku mereka ada tempat perlindungan bagi bayi-bayi yang mereka tidak inginkan kelahirannya.

Tindakan undang-undang harus diambil terhadap mereka yang terlibat dengan perzinaan ini kerana kesannya buruk sehingga mengundang kepada permasalahan buang bayi ini. Secara normalnya pasangan suami isteri yang mempunyai ikatan yang sah tidak akan membuang bayi mereka. Tindakan membuang bayi ini adalah hasil dari hubungan oleh pasangan yang tidak mempunyai hubungan perkahwinan yang sah justeru melahirkan anak dengan tanpa mereka inginkan anak tersebut. Akibatnya bayi tersebut dibunuh semata-mata bagi menutup aib mereka di mana di sini dua perlakuan dosa besar dilakukan oleh mereka iaitu berzina dan membunuh.

Di Negara kita perlakuan tentang kesalahan zina ini adalah terbatas. Oleh kerana keterbatasan pelaksanaan hukum syarak dalam ruang lingkup negara Malaysia maka kesalahan zina lebih dikenali dengan persetubuhan luar nikah dalam Akta Kesalahan Jenayah Syariah Wilayah-Wilayah Persekutuan 1997 di dalam Seksyen 23 manakala di Selangor pula di dalam Enakmen Jenayah Syariah (Selangor) 1995

Peruntukan di dalam Akta tersebut memperuntukan sekiranya

Mana-mana orang lelaki atau perempuan melakukan persetubuhan dengan orang perempuan atau lelaki yang bukan isterinya atau suaminya yang sah adalah melakukan suatu kesalahan dan apabila disabitkan boleh didenda tidak melebihi rm 5000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi 3 tahun atau disebat tidak melebihi 6 kali sebatan atau dihukum bagi mana-mana kombinasi hukuam itu.

Selain itu juga peruntukan tersebut menyebut bahawa seorang perempuan melahirkan anak yang sempurna sifat dalam tempoh yang kurang daripada enam bulan qamariah dari tarikh pernikahannya atau hamil luar nikah akibat persetubuhan yang direlakan dan tahu kesalahan yang sedang dilakukannya maka kedua-dua keadaan tersebut telah mencapai tahap prima facie yang disabitkan Mahkamah Syariah boleh didenda tidak melebihi lima ribu ringgit atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi tiga tahun atau disebat tidak melebihi enam sebatan atau mana-mana kombinasi hukuman-hukuman itu.

Sewajarnya disebabkan perlakuan zina ini memberi kesan yang buruk pada masyarakat maka hukuman yang berat serta setimpal wajar dikenakan terhadap perlakunya samada lelaki atau wanita agar permasalahan yang timbul kesan dari perlakuan tersebut seperti masalah buang bayi ini tidak akan timbul pada masa-masa akan datang. Peruntukan undang-undang terhadap hukuman terhadap pesalah zina ini harus dipinda dan dikaji dengan memberikan hukuman yang berat agar permasalahan seumpama ini dapat dibendung selain kita membendung dari peringkat awal

Selain membendung dari sudut undang-undang ibu bapa juga berperanan untuk menjadi ibubapa yang baik dan bertanggungjawab agar anak dapat dididik dengan baik. tanamkan nilai keagamaan dari kecil lagi. Tetapi ingat Jangan memaksa anak-anak remaja kerana desakan anda akan menolak mereka kepada teman yang lebih rapat. Mereka boleh terjerumus jika teman yang dipilih salah. Ibu bapa adalah orang terbaik untuk memberi pendidikan seks kepada remaja. Jika ibu bapa tidak melakukannya, mereka akan mencari ilmu ini dari kawan di internet. pasti perkara buruk berlaku.

Selain peranan ibu bapa bagi meyelesaikan kemelut ini remaja, media massa, masyarakat dan juga kerajaan berperanan untuk menyelesaikan masalah ini selain daripada penyelesaian melalui undang-undang. Undang-undang adalah suatu bentuk sekatan untuk tujuan mendidik tetapi nilai agama adalah penting dalam diri untuk menjauhi segala perlakuan buruk terutamanya perzinaan. Tanpa perzinaan tiada kes buang bayi.

Disediakan oleh.

Mohamad Isa bin Abd Ralip

Presiden PGSM

~Sumber Persatuan Peguam Syarie Malaysia

0 Response to "Anak Luar Nikah .."