PILIHAN RAYA DAN KEIZINAN SYARA’

MUQADDIMAH

Persoalan tentang keharusan memilih wasilah pilihan raya u...ntuk menegakkan daulah Islamiah merupakan antara polemik umat yang masih wujud hingga kini. Memandangkan tiada nas qat’ie yang menegah daripada memasuki pilihan raya, maka perkara ini bersifat ijtihadi ‘amali. Oleh itu ia membawa kepada lahirnya golongan yang berpandangan boleh menyertai pilihan raya, dan dalam masa yang sama wujud juga golongan yang menolak kaedah ini dengan dalil dan alasan masing-masing.

Melalui penulisan ini, penulis cuba mengutarakan beberapa pelepasan syarak (yang membolehkan kita memasuki pilihan raya, di samping membentangkan syubhat-syubhat yang wujud dan penolakannya serta mauqif beberapa gerakan Islam seluruh dunia dan Ulama’ semasa mengenai persoalan ini.

DEFINISI

Pilihan raya merupakan satu proses memilih calon yang bertanding untuk menjadi ahli parlimen atau DUN yang merupakan institusi eksklusif dalam pemerintahan sesebuah negara yang mengamalkan prinsip demokrasi berparlimen.


PELEPASAN SYARA’ YANG MEMBOLEHKAN PENYERTAAN DALAM PIHAN RAYA (DALIL GOLONGAN YANG MENERIMA KAEDAH PILIHAN RAYA).

1. Kaedah usuliah : Hukum asal bagi sesuatu adalah harus (الأصل فى الأشيأ الاءباحة ). Memandangkan tidak ada nas qat’ie sama ada al-Quran atau as-Sunnah yang mengharamkan penyertaan dalam pilihan raya, maka hukum asal pilihan raya adalah harus.

2. Kaedah fiqhiyyah: ارتكاب اخف الضرربن -Memang tidak dinafikan menyertai pilihan raya boleh menimbulkan mudharat, tetapi menolak pilihan raya adalah lebih besar mudharat kerana membuka peluang besar kepada gabungan musuh Allah menguasai pemerintahan negara.

3. Pilihan raya merialisasikan beberapa tuntutan dan maslahah syariah mu’tabarah.
i. antara juzuk dakwah dan amar ma’ruf nahi mungkar.
ii. proses menegakkan pilihan raya secara muwajjahah silmiah.
iii. tarbiah jihadiah kepada anggota harakah Islamiah.

4. Boleh menggunakan idea atau sistem bukan Islam selagi mana tidak bercanggah dengan prinsip-prinsip asas Islam, tidak memudhratkan Islam, bahkan boleh menguntungkannya.
- sistem himayah / jiwar.
- Abdullah bin Uraiqit sebagai penunjuk jalan ke madinah dalam peristiwa hijrah.
- Tuntutan semasa yang realistik dan praktikal.


BEBERAPA SYUBHAT ( ALASAN-ALASAN GOLONGAN YANG MENOLAK WASILAH PILIHAN RAYA ) DAN PENOLAKAN KE ATASNYA.

SYUBHAT PERTAMA:

1. Terdapat beberapa ayat yang menegah daripada duduk bersama kuffar atau munafik, condong kepada golongan yang zalim atasnya: An Nisa’ (140), Al-An’am (68), Hud (113) dan Al-Isra’ (73).

*(sila rujuk ayat dan terjemahannya)

Ulasan ayat:
Realiti menunjukkan ahli parlimen (AP) sebahagiannya terdiri daripada orang kafir, munafik dan zalim sedangkan ayat-ayat di atas menegah daripada kita duduk bersama mereka. Maka menegakkan daulah Islamiah dengan cara bertanding dalam pilihan raya untuk menjadi AP adalah ditegah.


BIDASAN SYUBHAT 1.

Pertama : Ayat-ayat di atas kalau dirujuk kepada kitab-kitab tafsir, tidak menunjukkan larangan menyertai pilihan raya untuk menjadi AP, bahkan adalah sebaliknya. Sebagai contoh, ayat pertama (140: النسأ) jelas menunjukkan kita boleh duduk bersama mereka (orang- orang kafir / munafik / zalim) dalam membincangkan perkara-perkara yang dibolehkan dan kerana larangan hanya tertakluk kepada perkara-perkara yang mempersendakan ayat-ayat Allah dan mengkufurinya.

Realiti menunjukkan bahawa perbahasan tentang perundangan yang bercanggah dengan syara’ adalah terlalu sedikit berbanding perkara-perkara yang dibolehkan. Persidangan parlimen biasanya tertumpu kepada perlaksanaan kuasa eksekutif yang diagihkan melalui kementerian-kementerian, peraturan-peraturan, cukai, isu semasa, hubungan antara negara dan lain-lain yang tidak berkait dengan tegahan akta bahkan termasuk dalam hadis:
أنتم أعلم بأمور دنياكم

Berkata Al-Qurtubi dalam mentafsirkan ayat ini : setiap orang yang duduk dalam majlis maksiat sedangkan dia tidak mengingkari pihak yang melakukan maksiat tersebut maka dia turut berdosa seperti mereka. Maka hendaklah dia mengingkari mereka yang bercakap tentang perkara yang ditegah supaya tidak termasuk dalam golongan yang dinyatakan dalam ayat ini. (1)

Ayat-ayat yang lain juga berkaitan pada makna yang sama dengan ayat di atas. Pembaca sangat digalakkan untuk merujuk kepada kitab-kitab tafsir yang menyabitkan kebenaran yang penulis nyatakan.

Kedua : Kita tidak menolak berlakunya perbahasan tentang perkara-perkara yang bercanggah dengan syarak dan mempersendakan agama dalam persidangan parlimen, tapi bukankah ketika itu seorang ahli parlimen Muslim boleh keluar dewan sebagai menyatakan protes dan bantahannya terhadap perbahasan tersebut bagi menyahut seruan ayat-ayat di atas?
Ataupun manakah yang lebih aula; meninggalkan parlimen ataupun bangun bersuara dan menyatakan pandangan Islam yang sebenar dan mencegah kemungkaran tersebut? Bukankah perkara ini merealisasikan hadis: ….. من رأي منكم منكرا dan hadith …..
أ فضل الجهاد كلمة حق عند سلطان جائر

Di dalam pilihan raya calon yang bertanding dikehendaki membayar wang pertaruhan. Wang pertaruhan ini adalah berunsurkan judi dan Islam mengharamkannya dengan nas qat’ie. Maka tidak sepatutnya seorang muslim melibatkan diri dengan judi yang ditegah oleh Allah.


BIDASAN :

Takrif judi dalam Islam ialah sebarang perbuatan yang bertujuan memperolehi keuntungan, tanpa usaha yang selayaknya dan akan menyebabkan kerugian pada satu pihak ( m.s. 40 : 7/8 ( التفسير المنير : جزؤ
Di sana terdapat 3 aspek yang menunjukkan wang pertaruhan di dalam pilihan raya tidak termasuk dalam takrif judi menurut perspektif Islam iaitu :

i. Dalam pilihan raya walaupun pertaruhan dibayar tetapi usaha mesti dilakukan untuk memenanginya seperti berkempen, merayu undi, tampal poster dan lain-lain, sedangkan berjudi hanya bertaruh dan menunggu nasib sama ada menang atau kalah.

ii. Dalam pilihan raya, jika calon yang bertanding mendapat undi 1/8 atau lebih daripada jumlah pengundi setempat, maka wang pertaruhan akan dikembalikan walaupun dia kalah. Dalam judi pula tidak peluang untuk pihak yang kalah mendapat kembali wang pertaruhannya.

iii. Calon yang tidak mendapat 1/8 undi dalam pilihan raya akan hilang wang pertaruhan tetapi ianya tidak pula diberikan kepada calon yang menang. Sebaliknya SPR yang akan mengambilnya. Maka pihak yang kalah dalam judi pula terpaksa menyerahkan wang pertaruhannya kepada pihak yang menang.
*(kadar capaian undi untuk mendapatkan semula wang pertaruhan boleh berubah menurut peraturan yang ditetapkan oleh SPR)

Jadi jelaslah bahawa pertaruhan yang berlaku dalam pilihan raya tidak termasuk dalam takrif judi mengikut pandangan syara’


HARAKAH ISLAMIYAH YANG MEMILIH PILIHAN RAYA SEBAGAI ANTARA WASILAH MENEGAKKAN DAULAH ISLAMIYYAH.

1. Ikhwan Muslimin di Mesir, tetapi mereka tidak bertanding atas nama pertubuhan mereka sebaliknya menggunakan platform Parti Buruh kerana maslahat tertentu.
2. Ikhwan Muslimin di Jordan.
3. Parti Refah di Turki.
4. Jamiah Islamiah di Pakistan.
5. FIS di Algeria
6. Parti Islam Se-Malaysia.
7. Masyumi di Indonesia

PENDIRIAN ULAMAK SEMASA TENTANG PILIHAN RAYA.

Berkata As-Syeikh Abdul ‘Ala Al-Maududi, Amir Jamiat Islami di Pakistan ;

Untuk merealisasikan perubahan dalam konteks negara republik, maka tidak ada cara lain kecuali melalui pilihan raya. Malalui wasilah ini kita dapat membentuk arus perdana umat dan menukar cara berfikir mereka kepada Islam supaya mereka mngenali calon-calon yang mendokong risalah Islam. Pada masa yang sama kita perlu mengislahkan wasilah ini dan menyucikannya daripada sebarang bentuk penyelewengan dan tipu daya.

Imam As-Syahid Hassan Al-Banna pula telah menyebutkannya dalam risalahnya mengenai sistem kenegaraaan dalam Islam : “Sesungguhnya kita telah menerima sistem berparlimen di barat dan sehingga kini kerajaan kita masih bernaung di bawahnya. Sistem ini menuntut para pemerintah dan rakyat sama-sama bertanggungjawab untuk melaksanakannya. Walaubagaimanapun sistem ini tidak bercanggah dengan konsep negara Islam. مجموعة رسائل الامام الشاهيد حسن البنا من رسالة نظام الحكم))

Difahami daripada kalam As-Syahid Imam Hassan Al-Banna, sistem parlimen adalah semata-mata wasilah yang perlu diislahkan supaya dapat digunakan untuk menuju kepada pemerintahan Islam. Sebab itulah beliau sendiri telah mencalonkan diri untuk menjadi ahli parlimen sebanyak 2 kali tetapi malangnya konspirasi mustakrimin tidak memberi jalan kepadanya.

As-Syeikh Abdul Aziz bin Baz, Mufti kerajaan Arab Saudi ketika ditanya tentang bolehkah mencalonkan diri untuk menjadi ahli parlimen dan apakah pandangan Islam tentang pemaparan pasta-pasta calon dengan tujuan untuk berkempen supaya menjadi calon-calon yang beragama, beliau menjawab : Bahawa nabi s.a.w. telah bersabda :{Sesungguhnya setiap amal adalah berdasarkan niat, dan setiap orang akan dibalas mengikut niatnya .} Oleh itu tiada halangan untuk menyertai parlimen dengan tujuan mendokong kebenaran dan menghancurkan kebatilan. Ini adalah kerana perkara tersebut membawa kepada tertegaknya kebenaran dan memantapkan gabungan para pendakwah yang menyeru kepada Allah. Begitulah juga tidak salah mempamerkan pesta-pesta calon yang memang bermatlamat menegakkan kebenaran : (مجلة لوأ الاسلام ملف الانتخابات العدد الثالث ذوالقاعدة 1309 م )

Adapun Dr Yusuf Al Qardawi menekankan keharusan menjadi ahli parlimen dan terlibat dengan sistem demokrasi katanya : Dalam konteks merealisasikan wasilah politik semasa datang berterusan dan berkembang mengikut iklim dan suasana setempat, maka dibolehkan untuk menggunakan mana-mana wasilah sama ada berbentuk perkumpulan, pengajian, kerjasama dan lain-lain yang boleh membawa kepada kemaslahatan dan ketinggian Islam dan umatnya.

Pada bahagian yang lain pula Dr Yusuf Qardawi mengatakan : “Saya sangat terkejut apabila membaca surat yang ditulis oleh golongan yang bersemangat yang mengatakan : Penyertaan dalam parlimen adalah bercanggah dengan konsep tauhid.”

Sebenarnya ini merupakan kesilapan yang nyata kerana mereka memasukkan/ menyamakan masalah amal dengan masalah aqidah. Sedangkan persoalan amal berlingkar antara benar atau salah dan bukannya antara Iman dan kufur. Ia adalah termasuk dalam siasah syariah yang mana mujtahid-mujtahid yang betul dalam ijtihadnya akan diganjari dengan 2 pahala, dan sekiranya salah akan memperolehi satu pahala ( من فقه الدولة في الاسلام : للدكتور يوسف القرضوى)

Yang terakhir penulis suka merakamkan pandangan Tuan Guru Haji Abdul Hadi Awang dalam masalah ini. Kata beliau “memandangkan sistem demokrasi barat diterima pakai di Malaysia, di mana setiap lima tahun pilihan raya umum akan dijalankan untuk rakyat memilih kerajaan pilihan mereka, maka PAS telah memilih untuk menyertai pilihan raya atas dasar ‘muwajahah silmiah’. Pilihan raya merupakan satu wasilah untuk menegakkan pemerintahan Islam sekaligus menyeru umat Islam merealisasikannya. Ia juga merupakan penunaian konsep ‘amar ma’ruf nahi mungkar’ dengan jalan seafdhal-afdhal jihad iaitu ‘perkataan yang benar di hadapan pemerintahan yang zalim’-(Hadith). Walaupun ada golongan yang tidak memahami hakikat wasilah ini dan ada juga yang menolaknya kerana kecetekan pemahaman mereka, tetapi PAS berpandangan ianya merupakan pendekatan terbaik seperti mana juga yang telah dilakukan oleh gerakan-gerakan Islam di seluruh dunia. Memandangkan tiadanya nas-nas sorih yang memerintah atau menegahnya, maka persoalannya adalah masalah ijtihadiah yang mengambil kira suasana politik setempat. Sesungguhnya perdamaian di sisi Allah dan rasulnya adalah lebih utama daripada peperangan dan keganasan. ( الصراع بين الاسلام والعلمنية فى مالزيا )

KESIMPULAN :

Setelah kita meneliti dalil-dalil, syubhat dan penolakan serta pandangan ulamak semasa tentang pilihan raya dan menyertai parlimen, maka jelaslah bahawa Islam membenarkan pendekatan ini untuk kita merealisasikan tertegaknya pemerintahan Islam. Bahkan dalam situasi tertentu ianya menjadi wajib seperti mana dalam konteks Malaysia dan Lubnan. Walau bagaimanapun perlu ditegaskan kita tidak beriman dengan sistem demokrasi tetapi kita memilih pendekatan ini setelah mempertimbangkan semasak-masaknya maslahah, mafsadah yang bakal diperolehi.

PENUTUP:

Penulis memohon keampunan daripada Allah s.w.t. sekiranya ada kesilapan-kesilapan yang berlaku dalam tulisan ini sama ada sengaja atau tidak disengajakan. Penulis juga amat berharap agar pembaca dapat memberi teguran dan membetulkan kesilapan-kesilapan sekiranya lahir demi menuju keredhoaan Allah s.w.t. Semoga Allah menerima amalan kita semua dan sesungguhnya Allahlah yang memberi taufik dan hidayah

http://www.facebook.com/notes/mohd-yusof-hadhari/pilihan-raya-dan-keizinan-syara/459338998392

0 Response to "PILIHAN RAYA DAN KEIZINAN SYARA’"