Almarhum Ustaz Fadzil Noor




Hari ini tanggal 23 Jun 2011 genaplah 9 tahun pemergian Almarhum Ustaz Fadzil Noor. Moga rohmu dirahmati Allah dan ditempatkan di kalangan hamba-hamba yang beriman dan beramal soleh.Amin. Teringat pepatah Melayu yang berbunyi "Harimau mati meninggalkan belang, manusia mati meninggalkan NAMA". Namamu tetap segar diingatan para da'ie dan pejuang generasi kini walaupun engkau telah tiada lagi di bumi yang fana ini.

Sedikit biodata Almarhum Ustaz Fadzil Noor:

Fadzil@Ali bin Mohd Noor dilahirkan pada 13 Mac 1937 di Kampung Seberang Pumpung, Alor Setar, Kedah.

Ayahnya Mohd Noor Abdul Hamid dan ibunya Hindun Abdul Rahman meninggal dunia sewaktu beliau masih kecil.

Moyangnya Tuan Guru Hj Idris yang lebih dikenali sebagai Tuan Syeikh Idris Al-Jarumi adalah seorang ulama’ terkenal di Kedah yang berasal dari Patani.

Ustaz Fadzil Noor mendapat pendidikan awal di Sekolah Melayu Derga (1946-1949).

Beliau melanjutkan pelajaran ke peringkat menengah di Maktab Mahmud Alor Setar (1949-1958) dan peringkat tinggi (1958-1962).

Setelah tamat pengajiannya di Maktab Mahmud, Ustaz Fadzil Noor menjadi guru di Sekolah Menengah Badlishah, Kulim, Kedah. Kemudian beliau bertugas sebagai pegawai di Jabatan Zakat Negeri Kedah.

Pada tahun 1962, Ustaz Fadzil Noor melanjutkan pelajaran ke Universiti Al-Azhar Mesir. Pada tahun 1967 beliau berjaya menamatkan pelajaran dan memperoleh Ijazah Sarjana Muda Syariah.

Sekembalinya dari Mesir, Ustaz Fadzil Noor menjadi tenaga pengajar di Maktab Mahmud (1967-1973) dan pada tahun 1973 menerima tawaran sebagai pensyarah di Universiti Teknologi Malaysia, Kuala Lumpur.

Penglibatan Awal

Bakat kepimpinan Ustaz Fadzil Noor terserlah bila beliau bergerak cergas dalam persatuan pelajar dan terkenal sebagai pemidato yang pintar dan dihormati di Maktab Mahmud.

Ketika di Mesir Ustaz Fadzil Noor memimpin Kesatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM) sebagai ketua penerangan, setiausaha dan akhirnya sebagai timbalan presiden.

Ustaz Fadzil Noor pernah menjadi setiausaha Persatuan Ulama Malaysia (1974-1976), Setiausaha Penerangan ABIM (1973-1974) dan Timbalan Presiden ABIM (1974-1978).

Ustaz Fadzil Noor juga pernah menjadi setiausaha Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (PERKIM) cawangan Kedah.

Semasa memimpin ABIM, Ustaz Fadzil Noor turut terlibat dalam demonstrasi membela rakyat miskin di Baling, Kedah pada tahun 1974.

Ketika Anwar Ibrahim ditahan di bawah ISA di Kamunting dari tahun 1974 hingga 1976, Ustaz Fadzil Noor menjadi Pemangku Presiden ABIM.
Penglibatan dalam PAS

Ustaz Fadzil Noor mula terlibat dengan PAS pada tahun 1959 ketika masih menuntut di Maktab Mahmud. Beliau membantu calon-calon PAS dalam pilihanraya tahun tersebut.

Ustaz Fadzil Noor juga dalam kempen tersebut sering mengikuti ceramah-ceramah Dr. Burhanuddin Al-Helmy dan Prof. Zulkifli Muhammad.

Ustaz Fadzil Noor seterusnya dilantik menjadi YDP PAS Kawasan Kuala Kedah dan Ahli Perhubungan Negeri PAS Kedah.

Jawatan tertinggi yang disandang oleh Ustaz Fadzil Noor adalah:

· Naib Yang Dipertua (1979-1983)

· Timbalan Yang Dipertua (1983-1989)

· Presiden PAS (1989-2002)

Ustaz Fadzil Noor mula menjadi Yang Dipertua pada 31 Mac 1989. Nama jawatan Yang Dipertua PAS ditukar menjadi Presiden PAS pada masa beliau.

Tragedi Memali :

Semasa tercetusnya tragedi Memali, tugas menangani kes tersebut telah diserahkan oleh Tuan Guru Yusof Rawa kepada Ustaz Fadzil Noor. Beliau pada masa itu adalah Pesuruhjaya PAS Negeri Kedah.

Persoalan paling utama kepada Ustaz Fadzil Noor pada masa itu adalah bagaimana jenazah hendak diurus? Adakah mereka syuhada’?. Sekiranya mereka mati syahid, jenazah mereka tidak perlu dimandi, dikapan dan disolat-jenazahkan.

Ustaz Fadzil Noor terus menemui Tuan Guru Haji Omar, seorang alim yang sangat disegani di Baling. Menurut Tuan Guru Haji Omar, Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya sah mati syahid.

Ustaz Fadzil Noor merujuk lagi kepada Tuan Guru Haji Yahya Joned, ahli Majlis Fatwa Negeri Kedah dan menantunya Ustaz Azahari Abdul Razak, ahli Majlis Agama Islam Negeri Kedah. Kedua mereka adalah pimpinan ulama’ PAS Kedah.

Mereka berdua menyokong pendapat Tuan Guru Haji Omar.

Ustaz Fadzil Noor seterusnya cuba mendapatkan pengesahan daripada Majlis Fatwa Negeri Kedah tetapi dalam waktu yang suntuk Majlis Fatwa tidak dapat mengadakan mesyuarat.

Dengan itu jenazah Ustaz Ibrahim Libya dan 13 orang rakan-rakannya dikebumikan sebagai para syuhada’.

Dua minggu kemudian Jawatankuasa Fatwa Majlis Agama Islam Kedah mengatakan mereka tidak mati syahid dan dianggap sebagai syibghul bughah.

Seterusnya Majlis Fatwa Kebangsaan pula mengeluarkan fatwa bahawa Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya sebagai bughah, atau penderhaka.

Ustaz Fadzil Noor mengatakan jika pihak kerajaan menganggap mereka tidak syahid, kerajaan mesti bertindak menggali kubur, memandi, mengkafan dan menyembahyang-jenazahkan mereka!

Untuk meredakan keadaan, Sultan Kedah telah perkenan menziarahi pusara Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya.

Berikutan itu Ustaz Fadzil Noor mengulas:

”Mana ada raja perkenan menziarah kubur orang derhaka? Macam Hang Jebat yang dianggap derhaka kepada Raja Melaka, tidak pernah ada raja-raja dari dulu hingga sekarang ziarah kubur Hang Jebat”

Tindakan terhadap Ibrahim Libya adalah untuk mengelakkan pengaruhnya dan pengaruh PAS berkembang agar UMNO tidak tergugat di Baling.

Tetapi tanpa Ibrahim Libya pun, akhirnya Baling jatuh ke tangan PAS pada pilihanraya 1999.

Dalam debat Parlimen, isu Memali dibangkitkan oleh UMNO. Pihak yang mengatakan Ustaz Ibrahim Libya dan rakan-rakannya tidak syahid mencabar supaya Ustaz Fadzil Noor menggali pusara syuhada itu, sama ada hancur atau tidak jenazah mereka.

Ustaz Fadzil Noor lantas menjawab:

”Kami percaya mereka syahid, kami tidak perlu menggali kuburnya. Yang Berhormat yang tidak percayalah yang patut menggalinya untuk melihat badan mereka hancur atau masih segar”

Hari ini corak kepimpinan PAS di persada politik tanah air adalah bertitik tolak daripada sosok peribadi Almarhum Ustaz Fadzil Noor yang kita sayangi.Kehebatan kepimpinan beliau sentiasa segar dalam minda setiap pimpinan dan ahli PAS kerana ketokohan yang ada padanya. Yang nyata almarhum adalah contoh Ulama-Profesional yang tidak pernah jumud menilai serta menafsir setiap isu yang dihadapi oleh PAS. 'Pintu ijtihad' telah dibuka seluas-luasnya semasa kepimpinan beliau. Almarhum berkawan dengan siapa sahaja tidak kenal kawan mahupun lawan tanpa sempadan.

Kembali ke rahmatullah

Pada hari beliau dikebumikan pada malam 23 Jun 2002, hampir setengah juta orang berkumpul di situ.

Dari Alor Setar hingga ke kawasan itu, hampir 30km orang ramai penuh sesak di sepanjang jalan menunggu jenazahnya lalu.
Malah pada ketika terakhir jenazah hendak dikebumikan, tiada lagi kenderaan dapat bergerak sepanjang hampir 10km menuju ke Muassasah Darul Ulum.

Tidak kurang 50,000 orang menunaikan solat jenazahnya pada malam itu. Ia dikira satu rekod terbesar dalam sejarah umat Islam

0 Response to "Almarhum Ustaz Fadzil Noor"