Untukmu Abah..


Semalam tanggal 1 Julai 2011 merupakan hari kelahiran abah yang ke-71. Alhamdulillah dengan nikmat usia dan kesihatan yang baik daripada Allah , abah telah diraikan oleh kami iaitu Nyah, Chik, aku dan mak di RFC Ipoh sekitar jam 6 petang. Kali ini ada kelainan daripada kami. Saja nak buat kejutan pada abah untuk sambut hari jadinya di luar rumah.

Abah dilahirkan pada 1 Julai 1940 di Kampung Pasir Puteh Ipoh Perak. Abah anak kedua daripada lima orang adik beradik. Sejak kecil abah memang pandai berdikari menguruskan hal hidup sehingga abah dewasa dan berumah tangga. Abah telah kehilangan ayah yang dikasihinya semenjak dirinya kecil lagi. Sebab itu ada kelainan proses pembelajaran dan kematangan yang dilalui oleh abah berbanding kami yang mentah ini. Zaman itu sekadar cukup orang kata kais pagi makan pagi kais petang makan petang. Abah hanya mampu belajar sekadar tamat Darjah 6 sahaja sekolah melayu. Sekolah Kebangsaan Kampung Pasir Puteh merupakan sekolah warisan bagi kelurgaku kerana keturunanku bermula daripada arwah opahku (emak kepada abahku) hingga kepada kami ini (lapan orang adik beradik) semuanya menuntut ilmu di sini. Dinggarkan usia sekolah ini sudah mencecah 150++ .

Walaupun abah hanya lulus Darjah 6 tetapi abah tidak mahu melihat anak-anaknya senasib sepertinya. Abah bertungkus lumus memerah keringat di bawah terik matahari yang panas demi memberi kami sesuap nasi, kemudahan pendidikan dan keperluan asas yang lain supaya kami menjadi insan yang berguna di masa hadapan. Dalam otak fikiran abah tiada alasan untuk tidak menyekolahkan anak-anaknya walaupun gaji yang diterimanya tidak seberapa. Abah bersyukur kerana abah berjaya memberi keperluan pendidikan yang sewajarnya kepada kami kerana abah pegang kata-kata ini ' Hanya ilmu sahaja yang dapat mengubah nasib kita sekeluarga'.
Firman Allah SWT : “Allah meninggikan darjat orang yang beriman di kalangan kamu dan orang yang diberi ilmu pengetahuan (di kalangan kamu) beberapa darjat. (Ingatlah) Allah Maha mendalam pengetahuannya tentang apa yang kamu lakukan”. (Surah Al-Mujadalah, ayat 11)

Satu yang amat aku kagumi kebanyakan orang lelaki di peringkat umur mencecah usia senja seperti abah kurang menjaga penampilan diri mereka. Abahku (bukan nak puji tetapi sebagai renungan bersama) nampak segak dan bergaya. Faktor utamanya abah mementingkan kebersihan pakaian dan lain-lain. Jarang sekali aku lihat abah pakai selekeh dan kusut masai. Ramai juga yang tersilap anggap ingatkan abah seorang ustaz dan guru ataupun imam dan bilal. Mungkin ada roh keilmuan di situ atau bahasa mudahnya nampak ketokohan di raut wajah abah bagi yang pertama kali mengenalinya.

Setiap kali selepas solat tidak lupa aku doakan
رَبَّنَا اغْفِرْ لِي وَلِوَالِدَيَّ وَلِلْمُؤْمِنِينَ يَوْمَ يَقُومُ الْحِسَابُ
"Ya Tuhan kami, berilah keampunan kepadaku dan kedua-dua ibu bapaku dan sekalian orang-orang mukmin pada hari terjadinya hisab (hari kiamat)”

"O Our Lord! forgive me, and my parents, and all the Muslims on the day when the account will be established."


Kumemetik sebuah lagu nasyid berjudul 'SENTUHANMU' nyanyian In-Team untukmu abah yang kusayangi

Terpanar aku pada sentuhan keramatmu
Mengheret aku mentafsir memori silammu
Dulu ku ragu apa terbungkam dibenakmu
Kini ku tahu apa yang terbuku di hatimu

Surut dedarku pada usapan manteramu
Tunduk ungkalku pada ketegasan dirimu
Terpasak semangat pada keyakinan tekadmu
Keakuranku pada tunjuk dan titah arahanmu

C/O
Oh ayah,
Tak pernah ku tanya
Kemana tumpahnya keringatmu
Oh ayah,
Tak pernah ku hitung
Berapa banyak kerutan di dahimu
Yang ku pinta hanyalah kemahuan hatiku
Yang sedaya ayah laksanakan

Kau pendorong bukanlah pendesak
apalagi memaksa diriku
Aku terlorong bukan terdesak
apalagi rasa terdera

Tak terkuis dugaan menduga
Apalagi takdir yang menerpa
Aku mengharap bukan menolak
Apalagi cuba melupa

Lestari kasihmu tanpa batasan
Sempadan waktu yang memisahkan
Abadi hingga ke hujung usia akhiran masa
Sentuhanmu amat bermakna..

0 Response to "Untukmu Abah.."