Sejarah Hari Raya Dalam Islam







Sekitar 1400 tahun dahulu, ketika Rasulullah S.A.W berhijrah dari Mekah ke
Madinah, Baginda mendapati, terdapat dua hari raya yang disambut oleh
bangsa Arab pada masa itu. Kemudian, Rasulullah S.A.W bertanya kepada
mereka apakah dua hari raya itu?Mereka menjawab bahawa dua hari raya
perayaan yang diwarisi secara turun temurun daripada datuk nenek mereka.
Rasulullah S.A.W menyatakan kepada orang Arab Madinah bahawa, Islam
menggantikan dua hari raya yang mereka raikan itu dengan dua hari yang lebih
bermakna iaitu Hari Raya korban atau Aidiladha dan Hari Raya Fitrah atau Aidilfitri.
Disinilah bermulanya sejarah sambutan kedua-dua hari raya tersebut.
Kita sebagai seorang mukmin seharusnya bersyukur ke hadrat Allah S.W.T kerana
telah menemukan kita sekali lagi dengan bulan Ramadhan yang penuh berkat dan
Syawal yang penuh keistimewaan, peluang yang tidak lagi dapat dinikmati oleh
insan-insan lain yang telah lebih awal pergi meninggalkan kita di dunia ini.
Telah dirakamkan dalam Al-Quran dan juga Hadith, bulan-bulan tersebut telah
dijanjikan Allah dengan pahala yang berlipatkali ganda jika kita mengisinya
dengan pelbagai amalan wajib dan sunat dengan penuh keikhlasan.