Belasungkawa Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat

Ketika entri ini dikarang tanah airku yang tercinta telah kehilangan seorang Murabbi Ulama' yang sangat disegani kawan mahupun lawan. Beliau yang berhati mulia itu ialah Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat. Kebetulan tuan guru meninggal di malam Jumaat.
"Tidak ada seorang muslim pun yang meninggal pada hari Jumaat atau malam Jumaat kecuali Allah akan menjaganya dari fitnah kubur.” - (HR. Ahmad no. 6582 dan At-Tirmidzi no. 1074)
Semoga Ayahanda Allahyarham Tok Guru Nik Aziz Nik Mat Di Kurniakan Syurga Tertinggi
Sebenarnya Ruh nya Telah Diambil oleh Allah....
Tapi bukan semangat NYA..
Akan terus kekal HIDUP bersama Rakyat MALAYSIA. 

Tarikh kematian yang sama dengan As-Syahid Imam Hassan Al-Banna 12 Feb.
MasyaAllah ..

Antara pesanan yang berhikmah daripada insan yang berhati mulia ini renungkan bersama :







Sejak akhir-akhir ini berlaku perselisihan faham di kalangan ahli jemaah PAS. Semoga dengan peristiwa kematian Tuan Guru Nik Aziz ini diambil ikhtibar dan dijadikan muhasabah ke dalam jiwa dan hati para penyokong dan pendokong Islam. Hentikan fitnah..label-melabel..mengumpat..membuka aib dan sebagainya. Gunakan gabungan ilmu..iman..dan amal seiring dengan kematangan fikiran untuk bertindak sebelum mencetuskan fenomena yang tidak sihat..bahkan memalukan umat Islam khususnya ahli jemaah sekalian.

Renungkanlah khutbah terakhir junjungan mulia nabi Muhammad s.a.w ini:


Khutbah terakhir merujuk kepada khutbah atau ucapan terakhir Nabi Muhammad S.A.W kepada sekumpulan besar pengikut dan masyarakat Islam yang hidup pada zaman Nabi Muhammad S.A.W. Ia berlaku pada peristiwa Haji Wida' Rasulullah S.A.W yakni pada 9 Zulhijjah tahun 10 Hijrah di Lembah Uranah, Bukit Arafah, baginda menyampaikan khutbah terakhirnya di hadapan kaum Muslimin, di antara isi dari khutbah terakhir Rasulullah itu adalah:
"Wahai manusia, dengarlah baik-baik apa yang hendak kukatakan, Aku tidak mengetahui apakah aku dapat bertemu lagi dengan kamu semua selepas tahun ini. Oleh itu, dengarlah dengan teliti kata-kataku ini dan sampaikanlah ia kepada orang-orang yang tidak dapat hadir disini pada hari ini.
"Wahai manusia, sepertimana kamu menganggap bulan ini dan kota ini sebagai suci, anggaplah jiwa dan harta setiap orang Muslim sebagai amanah suci. Kembalikan harta yang diamanahkan kepada kamu kepada pemiliknya yang berhak. Janganlah kamu sakiti sesiapapun agar orang lain tidak menyakiti kamu lagi. Ingatlah bahawa sesungguhya kamu akan menemui Tuhan kamu dan Dia pasti membuat perhitungan di atas segala amalan kamu. Allah telah mengharamkan riba, oleh itu, segala urusan yang melibatkan riba dibatalkan mulai sekarang.
"Berwaspadalah terhadap syaitan demi keselamatan agama kamu. Dia telah berputus asa untuk menyesatkan kamu dalam perkara-perkara besar, maka berjaga-jagalah supaya kamu tidak mengikutinya dalam perkara-perkara kecil.
"Wahai manusia sebagaimana kamu mempunyai hak atas isteri kamu, mereka juga mempunyai hak ke atas kamu. Sekiranya mereka menyempurnakan hak mereka ke atas kamu, maka mereka juga berhak diberikan makan dan pakaian, dalam suasana kasih sayang. Layanilah wanita-wanita kamu dengan baik dan berlemah-lembutlah terhadap mereka kerana sesungguhnya mereka adalah teman dan pembantu kamu yang setia. Dan hak kamu atas mereka ialah mereka sama sekali tidak boleh memasukkan orang yang kamu tidak sukai ke dalam rumah kamu dan dilarang melakukan zina.
"Wahai manusia, dengarlah bersungguh-sungguh kata-kataku ini, sembahlah Allah, dirikanlah solat lima waktu, berpuasalah di bulan Ramadhan, dan tunaikanlah zakat dari harta kekayaan kamu. Kerjakanlah ibadah haji sekiranya kamu mampu. Ketahuilah bahawa setiap Muslim adalah saudara kepada Muslim yang lain. Kamu semua adalah sama; tidak seorang pun yang lebih mulia dari yang lainnya kecuali dalam Taqwa dan beramal soleh.
"Ingatlah, bahawa kamu akan menghadap Allah pada suatu hari untuk dipertanggungjawabkan diatas segala apa yang telah kamu kerjakan. Oleh itu, awasilah agar jangan sekali-kali kamu terkeluar dari landasan kebenaran selepas ketiadaanku.
"Wahai manusia, tidak ada lagi Nabi atau Rasul yang akan datang selepasku dan tidak akan lahir agama baru. Oleh itu wahai manusia, nilailah dengan betul dan fahamilah kata-kataku yang telah aku sampaikan kepada kamu. Sesungguhnya aku tinggalkan kepada kamu dua perkara, yang sekiranya kamu berpegang teguh dan mengikuti kedua-duanya, nescaya kamu tidak akan tersesat selama-lamanya. Itulah Al-Qur'an dan Sunnahku.
"Hendaklah orang-orang yang mendengar ucapanku, menyampaikan pula kepada orang lain. Semoga yang terakhir lebih memahami kata-kataku dari mereka yang terus mendengar dariku. Saksikanlah Ya Allah, bahawasanya telah aku sampaikan risalah-Mu kepada hamba-hamba-Mu."
------------------------------------------------------------------------------------------------------------------
Isu hari ini 
1. Isu Pasma
2. Krisis MB Selangor
3. Kritikan kepimpinan Ulama'

Sikap Tasaamuh (berlapang dada) dalam ikhtilaf sangat-sangat di tuntut. Terkadang kita memandang baik kepada sesuatu perkara, sedangkan ianya tidak baik bagi kita. Bahkan terkadang kita membenci sesuatu, sebaliknya ia baik bagi kita. Itulah yang diingatkan oleh Allah s.w.t.

" Dan boleh jadi kamu membenci sesuatu, tetapi ianya baik bagi kamu. Dan boleh jadi kamu mengasihi sesuatu , tetapi ia tidak baik bagi kamu.Allah mengetahui sedangkan kamu sebenarnya tidak mengetahui."

Oleh kerana perkara masa depan adalah dalam ilmu Allah, maka setiap perbezaan pandangan hendaklah mengharapkan kebaikan dari Allah.Kita mempunyai saluran yang betul untuk melahirkan perbezaan pandangan. Jangan cepat teruja menggunakan medium teknologi alam maya untuk menyebarkan fitnah..buka aib..dan sebagainya seseorang tokoh yang kita benci.Perlu diingatkan kepada seluruh ahli jemaah.. kita mempunyai pengikut yang ada kecenderungan tersendiri, sama ada untuk mengikuti pandangan seseorang atau membencinya.Kebencian ini akan memberi ruang kepada musuh untuk menyuntik jarum fitnah yang boleh menjurus kepada hilangnya wala' ke atas kepimpinan.Sedangkan wala' adalah rukun dalam jemaah.

Sebagai pimpinan, kita tidak seharusnya meletakkan ahli dan pengikut dalam keadaan serba salah, antara setuju dengan sesuatu pendapat dan pandangan, atau sebaliknya.Kerana rasa bersalah dalam diri wujud dalam diri ahli untuk menerima atau menolak sesuatu pandangan pimpinan mendorong kepada dua situasi:

1. Apa orang lain akan kata kepadanya, dan sekiranya ia berlaku akan mendatangkan kesan besar selepas itu. Tidak mustahil ada yang akan tersinggung, menyisih diri, merajuk dan seterusnya hilang daripada jemaah.
2. Menjadi golongan kecewa dengan apa yang berlaku dan terus mengambil sikap berdiam diri daripada aktif dalam jemaah

Kedua-dua situasi ini tidak menguntungkan jemaah, dan paling besar merugikannnya bila mana dia mengadap Allah s.w.t di akhirat. Lantaran itu, ikhtilaf hendaklah di dalam lingkungan adab berjemaah. Ia dikawal dari sikap melampau yang membuka ruang kepada musuh, apatah lagi menjerumus kepada hilangnya sikap hormat, kecewa dan tidak mempedulikan jemaah. Awasi perangkap musuh yang membesar-besarkan perbezaan pendapat, meracuni pemikiran ahli agar hilang wala' kepada pimpinan, dan memberi peluru kepada musuh untuk merosakkan ummah.

Semoga Allah memelihara kita daripada fitnah ini.

Resolusi yang boleh diambil
1. Penambahbaikan perlembagaan PAS yang mana perlu diperhalusi dan difahami khususnya jawatan dan peranannya.
2. Kaedah yang digunapakai dalam tahaluf siyasi iaitu dari segi pengurusan , keterbukaan dan sebagainya.

Muhasabah yang sangat bermakna. Allah tangguhkan dahulu kemenangan kita untuk memimpin..kerana disebabkan hati. Hati tempat jatuhnya pandangan Allah. Marilah kita kembali kepada Allah..Sebaik-baiknya paduan antara Ikhtiyariah + Istikharah untuk memutuskan apa-apa jua keputusan yang tidak pasti dalam hal-hal kehidupan ini. Moga bermanfaat cetusan idea ini buat tatapan pembaca yang dirahmati Allah.

Catatan yang dhoif ini
HambaMu Ya Allah
Jam 00:23
13 Februari 2015
Bangi


0 Response to "Belasungkawa Tuan Guru Nik Aziz Nik Mat "